Resepi bingka durian guna sukatan cawan memang resepi yang mudah dibuat. Mencari resepi bingka durian sedap dan mudah menjadi misi sis disebabkan banyak stok durian di rumah.
Bingka atau bengkang adalah sejenis kategori kuih dalam masyarakat Melayu. Terdapat beberapa jenis kuih yang dikenali sebagai bengkang, antaranya seperti bengkang berkuah, bengkang gandum, bengkang ubi dan bengkang kelapa.
Bila musim durian dan harga makin ‘masuk akal’, mulalah sis dan suami yang memang hantu durian asyik membeli je. Disebabkan semalam cik suami beli seplastik durian maka terfikirlah nak buat resepi berasaskan durian.
Serawa durian dah buat, tapi nak ulang buat lagi sekali nanti hehe. Tempoyak durian pun dah selesai buat juga.
Mula-mula ingat nak buat kek lapis durian tapi macam malas pulak nak melapis hahaha…
Jadinya cik suami bagi cadangan buat bingka durian. Eh, kemain dia bagi cadangan. Sis dah lah sejenis tak berapa pandai buat kuih tradisional.
Kalau bingka labu memang selalu juga buat tapi durian tak pernah lagi. Tapi sis cubalah.
Baca juga: Cara Masak Mee Bandung Muar Asli
So mulalah google resepi bingka durian yang paling senang nak buat dan nampak sedap. Ada resepi bingka durian Azie Kitchen, bingka durian Che Nom, bingka durian Kak Zaidah. Semuanya blogger masakan terkenal.
Bahkan kalau siapa ada periuk ajaib terkenal pun boleh guna resepi bingka durian Noxxa.
Tetapi sis berkenan dengan resepi bingka durian yang dikongsi oleh blog yatiememories. Hanya guna cawan je untuk sukatan bahan.
Table of Contents
BAHAN MASAK BINGKA DURIAN
BAHAN-BAHAN:
- 3 biji telur gred A
- 1 cawan santan pekat
- 2 1/4 cawan air
- 2 cawan tepung gandum
- 3/4 cawan gula
- 1/2 sudu kecil garam
- 2 sudu besar mentega (unsalted)
- 1 1/2 cawan isi durian
- pewarna kuning
- sedikit bijan
CARA MEMBUAT BINGKA DURIAN:
- Panaskan oven pada suhu 200 darjah celcius. Sapu mentega pada loyang bulat saiz 8×8 inci.
- Satukan semua bahan-bahan kecuali isi durian dalam mangkuk dan kacau guna whisk sampai sebati semuanya.
- Kemudian masukkan isi durian dalam adunan dan kacau sampai sebati guna blender.
- Tuang dalam loyang. Sebelum tu panaskan loyang dalam oven lebih kurang 3 minit. Tabur bijan jika suka.
- Bakar dalam oven selama sejam atau sehingga masak. Kalau suka permukaannya berkerak dan garing, tambah masa membakar guna api atas sahaja dalam masa lebih kurang 5-10 minit.
- Biarkan sejuk sekejap barulah boleh potong.
Memang terasa duriannya bila makan bingka ni. Sepotong demi sepotong masuk dalam mulut sis. Eh, nasib sedar diri lepas tu pegi walking sekejap kat padang tepi rumah. Memang berhantu betul rasa bingka durian lemak manis ni.
Nak tahu petua sambal nasi lemak sedap dan boleh tahan lama? Bacalah kat sini
RESEPI BINGKA DURIAN TANPA TELUR
BAHAN-BAHAN :
- 3 1/4 cawan tepung gandum (357.5g)
- 1 1/8 cawan tepung jagung (135g)
- 1100 ml santan sedang = 400 ml santan KARA + 700ml air ( atau air dengan susu segar)
- 1 tin susu cair
- 1 1/2 cawan gula pasir (300g)
- 1 1/2 cawan isi durian (300g)
- 1 sudu kecil garam
- 2 sudu besar mentega/majerin cair
- sedikit pewarna kuning
CARA MEMBUAT :
- Ayak kedua-dua tepung ke dalam mangkuk.
- Masukkan bahan-bahan lain ke dalam blender dan kisar halus lalu tuangkan ke dalam mangkuk berisi tepung dan kacau rata.
- Tambahkan secukup pewarna kuning dan kacau sebati.
- Tuang adunan ke dalam loyang yang disapu minyak.
- Bakar pada suhu 170C selama 50-60 minit atau hingga kuih masak, dan berwarna kecoklatan permukaannya. Sejukkan kuih, potong dan hidangkan.
TIP PILIH DURIAN
- WARNA DURIAN
Abaikan warna buah durian kerana tidak tidak mempengaruhi kelazatan isinya. Ada tiga warna durian yang biasa ditemui iaitu hijau, kuning dan coklat.
Jangan ingat durian berkulit hijau mempunyai isi yang belum matang, sdangkan yang berwarna coklat sudah matang. Ada durian berkulit hijau yang mempunyai isi buah yang sudah matang dan manis.
- PILIH DURIAN YANG BULAT
Sekiranya hendak mendapat isi durian yang kuning dengan jumlah yang banyak, pilihlah durian yang bentuknya bulat.
Menurut tip peniaga durian, buah yang bentuknya lonjong mempunyai isi yang sedikit berbanding yang berbentuk bulat.
- TENGOK TANGKAI DURIAN
Sebenarnya untuk mendapatkan kualiti isi yang padat dan banyak, tangkai buah tersebut juga memainkan peranan yang penting. Durian dengan tangkai tebal dan pendek menunjukkan isi buah tersebut banyak dan juga tebal.
Sementara, durian bertangkai ramping dan panjang merupakan petunjuk bahawa buah tersebut mempunyai isi yang sedikit dan tidak terlalu tebal.
- CIUM BAU DURIAN
Ini merupakan antara kaedah yang dilakukan oleh semua pembeli durian. Tidak dinafikan cara ini membantu menentukan kualiti buah durian. Secara logiknya bau yang sedap mestilah akan menghasilkan buah yang cantik dan sedap.
Tak perlu membelah durian jika ingin mencium baunya. Cukup sekadar mengangkat buah tersebut lalu dekatkan ke hidung. Durian dengan kualiti baik mampu menghasilkan aroma harum yang sangat ketara walaupun belum dibelah kulitnya.
- BENTUK DURI
Pilih durian yang mempunyai duri pendek dan jarang kerana durian ini memiliki isi yang banyak dengan rasa yang lebih manis. Sebaliknya jika durian itu berduri panjang dan rapat, berkemungkinan ia mempunyai isi yang sedikit kurang.
- PERTIMBANGKAN PILIH DURIAN YANG RINGAN
Seeloknya, cara memilih durian yang tepat adalah memilih buah yang ringan kerana semakin berat buah durian itu menunjukkan biji buahnya juga sangat besar.
Semakin beasr biji buahnya, tentu sahaja isi buahnya juga menjadi lebih tipis. Jadi, jika ingin mendapatkan durian denga nisi yang banyak, carilah buah durian yang paling ringan.
- KETUK BUAH DURIAN
Ciri-ciri durian matang boleh diketahui ketika anda mengetuk buah durian tersebut. Minta penjual untuk mengetuk buah dengan pisau. Ketika durian diketuk, perhatikan dengan cermat bunyi yang dihasilkan.
Durian yang belum matang akan berbunyi nyaring tetapi jika durian yang sudah matang maka bunyinya akan terdengar sedikit berat dan terendam seperti “bluk-bluk”.
- JANGAN BELI DURIAN MEREKAH ATAU TERBUKA
Rasa buah durian yang sudah merekah tidak semanis durian yang kulitnya masih tertutup rapat. Apabila kulit durian sudah terbuka, maka buah di dalamnya akan terkena angin. Ini akan menyebabkan rasa buah durian menjadi hambar.
- BELI DURIAN KETIKA MUSIM
Tip ini paling berguna jika anda membeli buah durian di pasar raya kerana jika sedang musim durian, pastinya buah yang dijual itu lebih segar berbanding buah yang dijual bukan pada musimnya.
Ini kerana kita sendiri tidak tahu sudah berapa lama buah durian itu dikutip dan berasa dari mana dan mungkin juga telah menjalani beberapa proses sampingan lain untuk ia kekal tahan lama.
PERBANDINGAN CARA MASAK BINGKA DURIAN DAN BINGKA UBI KAYU
- Sesetengah orang merasakan cara masak bingka durian atau labu lebih mudah berbanding bingka ubi kayu kerana penyediaan bingka ubi kayu memerlukan ubi kayu disagat terlebih dahulu sebelum diadun menjadi kuih bingka.
- Tekstur bingka ubi kayu lebih kenyal berbanding bingka durian yang lebih lembut apabila sudah siap dibakar.
- Bingka ubi kayu tidak memerlukan penggunaan sebarang tepung dalam adunannya walau sedikit pun sementara bingka durian memerlukan campuran tepung gandum.
- Biasanya orang akan bakar bingka ubi kayu sehingga sejam setengah hingga dua jam bergantung pada jenis oven untuk mendapatkan bahagian kerak yang garing. Manakala bingka durian hanya memerlukan masa sejam sahaja untuk pembakarannya.
3 JENIS BINGKA POPULAR
Peminat kuih tradisional bingka tentu biasa mencuba pelbagai jenis bingka popular yang biasa dimasak atau dijual oleh peniaga.
Rasa lemak manis bingka yang terkenal dengan aroma dan rasa istimewanya berdasarkan apa bahan utama yang digunakan pasti membuka selera. Antara jenis-jenis bingka popular dan sering menambat selera ramai adalah seperti ini.
BINGKA UBI KAYU
Hidangan bingka ubi kayu memang tak lapuk dek zaman. Mula menjadi hidangan sejak zaman nenek moyang kita dahulu kerana ketika itu ubi kayu merupakan antara bahan makanan utama seharian.
Bingka ubi kayu mempunyai tekstur yang lembut, kenyal dan rasa lemak manis tersendiri. Paling sedap kalau dapat makan bahagian keraknya yang garing. Bagaimanapun cara membuatnya yang agak renyah memerlukan kesabaran dan ramai orang muda sekarang tak sanggup untuk membuatnya sendiri.
Cara membuatnya, ubi kayu yang siap diparut, terus dicampur santan, gula, garam dan dimasukkan ke dalam loyang terus. Ubi kayu tak perlu ditapis atau dimasukkan apa-apa tepung kerana ubi kayu itu sendiri sudah berkanji.
BINGKA LABU
Rasa labu yang lemak manis dan mudah disediakan boleh dijadikan menu minuman petang sekeluarga. Tak perlu tambah sebarang pewarna kuning kerana warna asli labu sudah cukup menyerlah dan membangkitkan selera.
Cara membuatnya yang mudah dalam masa yang singkat pasti boleh dimasak oleh semua orang termasuk beginner. Anda boleh kukus atau rebus labu lebih kurang 10 minit sahaja. Masukkan kesemua bahan dan blender sehingga halus sebelum dimasukkan ke dalam loyang untuk dibakar.
BINGKA PANDAN
Selain dipanggil bingka pandan, kuih tradisional popular ini turut digelar kuih bakar pandan atau bengkang pandan. Rasanya yang lemak manis menjadi kuih evergreen dan boleh dimakan bila-bila masa sahaja.
Bingka pandan yang sedap haruslah memiliki kerak atas yang berkaramel, berwarna perang,serta sangat harum baunya hasil dari taburan bijan dan daun pandan asli yang digunakan.
Cara penyediaannya juga mudah dan tidak memerlukan bahan yang banyak, tapi ia menghasilkan kuih yg sangat sedap. Cuma anda perlukan teknik yang betul untuk mendapatkan kerak yang sedap semasa proses membakar.
Selain tiga jenis bingka popular di atas, ada lagi kuih bingka lain yang tidak kurang hebat rasanya. Antaranya Bingka Tepung Beras, Bingka Suji, Bingka Roti, Bingka Jagung, Bingka Ubi Kayu Gula Merah dan Bingka Pisang.
Sedapnya.. nanti kalau nak rasa beli ngan mama It jelah ya.. kiki
Tak pernah lagi buat sendiri bingka durian ni. Lepas ni boleh cuba
Jemput singgah: https://www.prettilyrare.com/