IBIS PJCC Petaling Jaya Pilihan Staycation Di Tengah Kota

Hotel ibis PJCC Petaling Jaya baharu sahaja dibuka kepada pengunjung dalam majlis pelancaran pada 24 November 2023 lalu. Lokasinya terletak hanya 10 minit pemanduan dari pusat membeli-belah Sunway Pyramid dan taman tema air terkenal Sunway Lagoon sememangnya menjadi tarikan sebagai hotel pilihan staycation orang Lembah Klang. Menerima jemputan menghadiri pembukaan rasmi hotel tersebut memberi peluang untuk saya melihat sendiri fasiliti yang ada di hotel dan pastinya memberi kepuasan kepada pelanggan dengan hanya membayar harga munasabah. Jom, kita intai apa keistimewaan hotel dengan warna tema merah ini.

Ibis PJCC Petaling Jaya

Majlis ini dihadiri oleh Senior Vice President of Accor, Encik Michel Vivier, Pengarah Urusan Ibis PJCC, Encik Suresh Nair dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Encik Azrul Shah Mohammad yang turut sama hadir dan merasmikan pembukaan hotel Ibis PJCC Petaling Jaya.

Dari kiri Suresh Nair, Azrul Shah Mohammad dan Michel Vivier (kanan sekali).

Dalam ucapannya, Azrul Shah sangat mengalu-alukan pembukaan hotel ibis PJCC yang terletak di tengah pusat komersil Petaling Jaya dan yakin ia bersedia menjadi pilihan para pelancong perniagaan dan penginapan.

“Kedudukannya di pusat bandar menepati citarasa trend masa kini masyarakat yang gemar menginap di hotel untuk tujuan healing selain menjadi pilihan penginapan pelancong untuk pelbagai aktiviti pelancongan domestik sempena kempen Pusing Selangor Dulu.”

Hotel ibis PJCC mempunyai sejumlah 161 buah bilik kontemporari yang telah direka bentuk untuk menawarkan keselesaan, kemudahan dan dekorasi estetik moden untuk memastikan tidur malam yang lena.

Bagi yang ingin membuat tempahan penginapan bilik hotel di sini boleh terus ke laman web rasmi Accor atau melalui pelbagai platform tempahan hotel dalam talian. Harga bilik di ibis PJCC bermula serendah RM150 termasuk bufet sarapan.

Alamat: 1, Jalan PJS 5/29, Taman Desaria, 46150 Petaling Jaya, Selangor.

5 Sebab ibis PJCC Pilihan Staycation Terbaik

Jika korang suka aktiviti staycation di hotel-hotel sekitar bandaraya Kuala Lumpur bersama kawan-kawan rapat atau keluarga, korang kena tahu apa sebab perlu masukan ibis PJCC Petaling Jaya sebagai antara pilihan terkini.

1. Lokasi strategik

Hotel ekonomi ini hanya mengambil masa 30 minit pemanduan dari pusat bandar Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) dan hanya 15 minit pemanduan dari pusat membeli-belah Sunway Pyramid dan taman tema air terkenal Sunway Lagoon.

2. Katil rekaan khas Sweet Beds™ by ibis

ibis pjcc petaling jaya
Katil Sweet Beds™ by ibis

Setiap bilik dilengkapi fasiliti Sweet Beds™ by ibis, sebuah katil yang direka khas oleh ibis untuk memberi keselesaan dan tidur yang berkualiti kepada tetamunya. Antara elemen istimewa Sweet Beds™ by ibis iaitu mempunyai kaki katil yang fleksibel mengikut gerakan badan semasa tidur, tilam dengan teknologi Intellifoam yang mampu berubah mengikut tekanan badan orang yang tidur, tilam ini juga dilengkapi sarung lembut berbentuk sarang lebah 3-D untuk memastikan kebersihan dan pengudaraan yang baik.

Baca juga AEON Fashion Preview

3. Tandas bilik mesra OKU dan warga emas

Kemudahan bilik air di dalam bilik hotel ibis PJCC Petaling Jaya mesra orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas tentu sahaja akan menjadi pilihan mereka membawa keluarga. Selain itu kemudahan TV pintar, akses Wi-Fi dan bar mini percuma juga penting untuk keselesaan yang membawa anak-anak kecil.

4. Kemudahan rekreasi dan hiburan

ibis pjcc petaling jaya
Kemudahan gim yang selesa

Selain mahukan keselesaan tidur di bilik hotel, pengunjung juga mesti mahu ada kemudahan aktiviti rekreasi sepanjang penginapan. ibis PJCC Petaling Jaya menyediakan kemudahan gimnasium, kolam renang yang menghadap latar langit Petaling Jaya dan bilik permainan kanak-kanak.

5. Kemudahan Accor’s lifestyle loyalty program

Tetamu yang menginap di ibis PJCC Petaling Jaya boleh memanfaatkan program kesetiaan gaya hidup Accor, ALL – Accor Live Limitless dengan memperoleh 4x ganjaran untuk masa terhad sahaja. Ganjaran boleh diperoleh untuk tempahan yang dibuat dari sekarang hingga 17 Disember 2023, sah untuk penginapan sehingga 28 Januari 2024.

ALL-Accor Live Limitless adalah percuma untuk disertai dan menawarkan pengalaman dan insentif yang tidak ternilai kepada ahlinya untuk menikmati keistimewaan eksklusif daripada lebih 40 jenama hotel.

Lain-lain kemudahan sepanjang penginapan di ibis PJCC termasuk menjamu selera dengan kepuasan tersendiri di ibis Kitchen, restoran makan sepanjang hari di hotel, menawarkan pilihan menu tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, ibis PJCC Petaling Jaya menawarkan empat bilik mesyuarat serba boleh sesuai untuk acara korporat atau majlis peribadi yang boleh memuatkan sehingga 70 orang tetamu.

Info ibis Hotel

Sejak 1974, ibis telah menjadi jenama terkenal, terbuka dan mesra kepada semua pelancong. Hotel ibis digemari oleh pengembara dan penduduk tempatan kerana gaya kontemporari mereka dan dekorasi bilik yang seakan berada di rumah sendiri dan pengalaman daftar masuk mudah alih yang mudah.

Tidak kira ke mana sahaja di dunia, ibis sentiasa menjadi pilihan ramai. Dengan lebih 1,260 hotel di lebih 65 buah negara, ibis diiktiraf di seluruh dunia sebagai jenama terkemuka dalam perhotelan ekonomi.

ibis adalah sebahagian daripada Accor, kumpulan hospitaliti terkemuka dunia dengan pemilikan lebih 5,500 hartanah di lebih 110 negara, dan jenama yang mengambil bahagian dalam ALL – Accor Live Limitless – program kesetiaan gaya hidup yang menyediakan akses kepada pelbagai jenis ganjaran, perkhidmatan dan pengalaman.

Baca juga Zoo Negara, Gunung Banang

1 thought on “IBIS PJCC Petaling Jaya Pilihan Staycation Di Tengah Kota”

Leave a Comment

error: Content is protected !!