About me nitasawal kembangkan pengalaman lebih 20 tahun bergelar Wartawan.
Kemahiran SEO writer kini menjadi satu kemahiran baharu dalam dunia penulisan secara online. Kini bidang penulisan bukan sahaja dikuasai oleh mereka yang berlatar belakang dalam bidang kewartawanan.
Blog nitasawal dibangunkan bukan sekadar berkongsi pengalaman untuk manfaat pembaca sahaja tetapi ingin meneroka kemahiran penulisan secara SEO untuk bergelar SEO Writer sebuah blog.
Table of Contents
About Me: Nitasawal.com
Sesiapa sahaja yang minat menulis boleh sahaja buat blog, website atau portal untuk berkongsi pengalaman dan ilmu mereka secara bertulis.

Tetapi pengalaman lebih dari 20 tahun dalam bidang kewartawanan merupakan satu kelebihan kepada nitasawal,com yang memiliki kelulusan jurusan Komunikasi major dalam Kewartawanan, Universiti Sains Malaysia.
About me: memulakan kerjaya sebagai wartawan majalah Perempuan selepas menamatkan pengajian pada tahun 1998 memberi peluang bertemu dengan pelbagai golongan masyarakat termasuk ahli politik, kerabat diraja, selebriti dan ahli perniagaan berjaya.
Setelah setahun bergelar wartawan Lifestyle, nitasawal bertukar kepada penulisan keibubapaan di bawah majalah keibubapaan nombor satu, Pa&Ma.
Bermula dari wartawan majalah kemudian menjadi wartawan portal Pa&Ma memang sangat berbeza. Bila mula menulis untuk portal banyak bab teknikal perlu dipelajari mengikut arus perkembangan media baru.
Menjadi satu keseronokan apabila menguasai penulisan di portal dan media sosial kerana boleh melihat secara langsung respon dan komen pembaca yang sukakan penulisan kita.

Menggalas tanggungjawab sebagai Editor Pa&Ma juga satu kenangan dan pengalaman paling berharga sepanjang membina kerjaya dalam bidang media.
Bertanggungjawab dalam menguruskan content Pa&Ma Print, Digital, TV Content & klien komersial.
Selain menulis, nitasawal turut aktif menjalankan perniagaan kek lapis secara sambilan sejak lapan tahun lepas. Mewarisi perniagaan kek lapis yang pernah dijalankan oleh ibu sejak lebih 20 tahun lalu.
Pengalaman Menulis Di Pa&Ma
Menimba pengalaman menulis dalam majalah/portal keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak terkenal Pa&Ma merupakan satu kelebihan apabila berpeluang menemubual ramai pakar perubatan terkenal, pakar keibubapaan dan perkembangan kanak-kanak.
Secara tidak langsung selain ia ilmu bermanfaat untuk kegunaan diri sendiri, ia juga membantu dalam penulisan di blog.
Pengalaman paling tak dapat dilupakan apabila berpeluang menyaksikan sendiri proses kelahiran seorang ibu secara pembedahan caesarean di salah sebuah hospital swasta di Shah Alam.
Memang ngeri tapi pengalaman tersebut sangat berharga dan pasti akan dikenang sampai bila-bila. Terus terbayang begitulah senarionya bila diri sendiri melahirkan anak secara pembedahan 18 tahun lalu.
Ruginya ketika zaman itu masih belum ada lagi kamera di telefon bimbit dan media sosial. Jadi tiada gambar kenangan dirakamkan semasa dalam bilik bedah tersebut kecuali gambar-gambar proses pembedahan ibu tersebut yang dirakamkan secara eksklusif oleh jurugambar untuk tujuan penyiaran di majalah Pa&Ma.
Menggunakan kelebihan dan pengalaman lebih 20 tahun dalam penulisan keibubapaan, nitasawal.com selesa menjadi sumber rujukan para ibu bapa yang mencari informasi membesarkan anak selain perkongsian tip santai berkisar gaya hidup.
Walaupun ramai penulis blog/portal keibubapaan tetapi nitasawal percaya dapat menyediakan fakta dari sumber yang tepat dan pengalaman diperoleh hasil menemubual mereka yang pakar dalam bidang keibubapaan satu kelebihan.
Bezanya, selain berkongsi pengalaman dan informasi, nitasawal cuba menyahut cabaran menggarap penulisan mengikut skema SEO yang betul agar artikel yang dihasilkan berada dalam ranking carian. Bukan tugas mudah tapi ia sesuatu perkara baru dalam dunia penulisan yang mesti dikuasai untuk kekal relevan.
SEO Writer Blog Peribadi
Sebenarnya mula berjinak-jinak menulis di blog sejak tahun 2010 menerusi platform blogspot. Masa itu rasa menulis tu macam ‘makanan’ kita je.
Maklumlah hari-hari kerja menulis tetapi bila berpeluang belajar tentang penulisan mengikut SEO (Search Engine Optimization) barulah sedar bukan mudah nak menguasai kemahiran tersebut kalau tidak berguru dengan guru yang betul.
Terima kasih tak terhingga kepada Azni, kawan baik sejak zaman USM, pemilik blog modermumthingy.com juga sifu yang telah memperkenalkan betapa pentingnya penulisan di blog mengikut skema SEO.
Katanya jangan syok sendiri menulis blog macam tulis diari hehehe…
Berada dalam kelompok blogger-blogger yang hebat menulis mengikut SEO dan blog mereka semuanya mempunyai DR (Domain Rating) yang tinggi membuatkan rasa kagum dengan semangat mereka bergelar SEO Writer di Malaysia.
Domain Rating (DR) ialah metrik SEO proprietari oleh Ahrefs. Ia mewakili kekuatan profil pautan balik (backlink) laman web pada skala logaritma dari 0 hingga 100, dan metrik paling tinggi adalah yang paling bagus.
Artikel paling hit dan berada di page pertama carian google adalah perkongsian mengenai cara kirim doa mustajab depan Kaabah.
Sejujurnya tak mudah rupanya untuk bergelar penulis SEO, kerana ia bukan sekadar pandai menulis tetapi perlu memahami tentang bab teknikal bagi membolehkan artikel yang kita hasilkan berada dalam keyword carian di google.
Walaupun struggle bergelut membahagikan masa antara kerjaya tetap dan menulis blog, nitasawal berusaha untuk berkongsi informasi melalui penulisan kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada jiwanya.
Peluang menimba ilmu berkenaan SEO keyword daripada guru yang pakar sangat dihargai dan berada dalam kelompok blogger-blogger muda yang bercita-cita tinggi turut menyuntik semangat pada nitasawal untuk terus berjuang menulis dan meletakkan diri sebaris dengan SEO writer hebat lain di Malaysia. Doakan nitasawal ya.