SPM 2023 bakal bermula tidak lama lagi. Kalau ikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini, tarikh SPM 2023 bermula pada 8 Januari ini sehingga 7 Mac dengan melibatkan seramai 395,870 orang calon yang sudah mendaftar. Peperiksaan ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu ujian bertutur, mendengar dan bertulis. Ujian bertutur Bahasa Melayu bermula pada 8 hingga 11 Januari ini, Bahasa Inggeris pula bermula pada 17 hingga 23 Januari. Ujian mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula diadakan pada 29 Januari dan peperiksaan bertulis akan bermula pada 30 Januari sehingga 7 Mac.
Table of Contents
SPM 2023: Masih Sempat Buat Persiapan Akhir
Debaran menghadapi peperiksaan besar peringkat sekolah menengah bukan hanya dirasai oleh para calon SPM 2023 sahaja tetapi ibu bapa turut rasa tempiasnya. Saya masih ingat kenangan melalui fasa debaran tersebut pada tahun lepas apabila anak kedua menduduki peperiksaan SPM 2022/23 pada pertengahan Februari 2023.
Semakin dekat dengan tarikh peperiksaan SPM 2023 tentu sahaja calon-calon semakin gementar terutama bagi yang merasakan belum habis membuat persiapan. Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia atau SPM merupakan peperiksaan paling penting untuk pelajar sekolah menengah sebelum mereka melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi dalam bidang yang mereka minati.
Walaupun tarikh SPM sudah diumumkan dan jadual SPM 2023/2024 terkini KPM juga sudah diedarkan, calon masih berpeluang untuk terus berusaha membuat persiapan akhir bagi menghadapi peperiksaan penting ini. Tiada istilah sudah terlambat kerana setiap saat yang tinggal adalah sangat berharga.
Tip Dapat Keputusan Baik
Keputusan SPM 2022/23 antara momen paling membahagiakan saya sebagai seorang ibu kerana satu-satunya anak bujang mendapat keputusan baik yang membanggakan. Alhamdulillah syukur kerana Allah makbulkan doa seorang ibu untuk anaknya mendapat keputusan baik dalam SPM.

Sebenarnya anak saya bukanlah seorang pelajar yang cemerlang dari zaman sekolah rendah. Lumrah kanak-kanak lelaki yang gemar bermain dan kurang fokus semasa belajar menyebabkan dia banyak tertinggal dalam pelajaran.
Orang kata anak lelaki lambat matang sebab itu majoriti mereka lebih banyak bermain dan kurang fokus belajar semasa sekolah rendah berbanding anak perempuan. Saya memang pegang kata-kata tersebut dan tak jemu berdoa semoga satu hari anak saya akan matang dan punya kesedaran sendiri memikirkan masa depannya.
Alhamdulillah selepas PKP (Perintah Kawalan Berkurung) pada tahun 2020, anak sendiri berubah dengan menunjukkan minat terhadap pelajaran dan banyak bertanya tentang peluang untuk melanjutkan pelajaran di IPTA selepas tamat SPM.
Hikmah PKP yang berlaku, rasa macam mimpi tengok anak sendiri berubah 180° masa dia naik form 4 selepas selalu dengar cerita campus life kakaknya. Orang kata anak lelaki ni lebih pintar otaknya kalau dia sendiri yang berubah untuk jadi rajin. Dulu saya macam tak percaya kata-kata itu tapi bila jadi betul-betul testimoni anak sendiri baru percaya.
Bayangkan dari tingkatan satu sampai tiga, dia langsung tak fokus pada pelajaran. Bila naik tingkatan empat, dia mula ada kesedaran sedikit dan tingkatan lima dia baru fokus buat persiapan peperiksaan. Daripada tiada gred A langsung masa peperiksaan setengah tahun dan percubaan SPM kepada mendapat keputusan 7A 2B+ dalam SPM 2022/2023 merupakan satu pencapaian yang saya sebagai ibu sangat bangga.
Syukur Alhamdulillah walaupun bukan mendapat straight A’s semua mata pelajaran tetapi secara peribadi bagi saya itu pencapaian terbaik dia. Maklumlah dia pun buat persiapan semasa tingkatan lima.
Dari pemerhatian saya terhadap cara pembelajaran anak, dikongsikan serba sedikit tip study anak saya. Moga bermanfaat kepada ibu-ibu lain yang risau anak hendak SPM tetapi masih malas belajar.
1. Mak Kena Banyak Berdoa
Sebagai ibu yang doanya mustajab, jangan pernah berhenti doa pada Allah SWT minta anak-anak tidak tinggal solat, mudah belajar dan jadi anak baik dunia akhirat.
2. Belajar Guna YouTube
Hantar anak tuisyen ikut kemampuan kita dan keselesaan anak sendiri. Saya hantar anak belajar di dua tempat tuisyen berbeza pada awal tahun dia tingkatan 5. Dia hanya tuisyen lebih kurang dua bulan sahaja sebelum dia membuat keputusan untuk belajar sendiri menggunakan platform YouTube sahaja.
3. Ulangkaji Pelajaran Dari Tingkatan 1
Anak beritahu dia baca balik buku-buku sekolah dari tingkatan satu termasuk subjek Matematik untuk catch up balilk apa yang dia tertinggal dan tidak faham. Maklumlah dia dulu banyak bermain berbanding belajar.
4. Konsisten Hadir Kelas Tambahan Sekolah
Anak saya sentiasa konsisten hadir kelas tambahan sekolah tak kira hujan, panas, cuti sekolah atau hari apa pun yang cikgu buat dia mesti hadir.
5. Berkorban Masa Bercuti
Sepanjang setahun sebelum peperiksaan SPM, anak saya banyak berkorban dan sukarela daripada mengikut kami pergi bercuti, balik kampung atau keluar berlibur kecuali semasa balik kampung hari raya dan ada kematian ibu saudaranya. Dia sanggup tinggal di rumah sendirian kerana hendak beri tumpuan belajar dan mengikut jadual yang sudah dirancang.
6. Disiplin Ikut Jadual
Dari pemerhatian saya juga, dia mempunyai jadual belajar sendiri walaupun tiada sebarang jadual secara fizikal dilihat dalam biliknya. Dia sangat berdisiplin mengikut jadual waktu belajarnya. Bayangkan waktu kitaorang tengah berborak sekeluarga, tiba-tiba dia boleh lari masuk bilik sebab dia cakap dah tiba masa untuk dia study.
7. Jaga Solat
Jaga solat, hubungan baik dengan ibu bapa, adik beradik (tapi tetap suka usik adik dia) cikgu-cikgu dan kawan-kawan.
8. Ajar Kawan-Kawan
Study group atau belajar berkumpulan dengan kawan-kawan banyak beri manfaat kepada anak-anak yang hendak menghadapi peperiksaan SPM. Selain belajar bersama anak saya juga turut berkongsi ilmu dengan mengajar kawan-kawan yang lemah dalam subjek yang dia mahir dan sebaliknya. Info ini pun saya ketahui daripada ibu salah seorang kawan baiknya yang bercerita semasa kami berjumpa di hari mengambil keputusan SPM.
Jadual SPM 2023/2024
Sebagai ibu yang telah melalui dua pengalaman anak mengambil peperiksaan SPM, saya nasihatkan ibu-ibu untuk print jadual SPM 2023/2024 dan tampal di rumah sebagai rujukan supaya mudah untuk tahu jadual peperiksaan anak dan sekurang-kurangnya boleh ingatkan anak juga in case mereka terlupa atau terlepas pandang tentang jadual peperiksaan (terutama anak lelaki) dan sebagainya.
Print jadual SPM 2023/2024 di sini.

Tarikh Keputusan SPM 2023
Biasanya keputusan SPM 2023/2024 akan keluar lebih kurang tiga bulan selepas peperiksaan berakhir. Tahun lepas KPM membuat pengumuman tarikh keputusan SPM 2022 keluar secara rasmi pada 8 Jun 2023. Bila KPM umumkan empat hari sebelum keputusan SPM 2022/2023 rasmi keluar, hati saya berdebar-debar mengalahkan calon SPM sendiri.
Anak nombor dua iaitu satu-satunya anak lelaki saya memang seorang yang sentiasa bertenang. Karektornya yang cool dan pendiam memang sukar kita nak duga sama ada dia berdebar atau tidak menunggu keputusan SPM 2022 keluar.
Jadi untuk tak nak ganggu mood tenang anak, saya pun sembunyikan rasa berdebar dan tak jemu memanjatkan doa memohon agar Allah kurniakan keputusan yang terbaik untuk anak tersayang. Bila teringat segala usaha yang dia dah buat untuk menghadapi peperiksaan penting dalam hidupnya ini, saya bersyukur sangat dan tak pernah menyangka dia boleh berubah sendiri tanpa sebarang sesiapa memaksa dan membuahkan hasil yang membanggakan keluarga.

Alhamdulillah kini anak saya melanjutkan pelajaran peringkat Diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Sains Komputer. Pejam celik, pejam celik, tak lama lagi dia akan menduduki peperiksaan akhir semester pada hujung bulan Januari ini. Tak sangka dah nak habis satu semester pengajian peringkat universiti. Moga dia terus cemerlang dalam pelajaran hingga mencapai impian dan cita-citanya.
Terima kasih atas tips dan panduan Cik NitaSawal. Wpun dah anak yg kedua, mak tetap berdebar setiap kali anak menduduki peperiksaan. Doa yg tak putus2 utk anak dan rakan2 seperjuangannya yg menghadapi SPM thn ini. Semoga semuanya cemerlang. Amiin Yra..