Petua Sambal Nasi Lemak Sedap & Tahan Lama

Petua masak sambal nasi lemak sedap dan tahan lama memainkan peranan penting membuatkan hidangan nasi lemak kita bertambah sedap. Sambal tumis adalah gandingan utama menjadikan hidangan nasi lemak lebih sempurna.

Kadang-kadang bila beli nasi lemak kat mana-mana, rasa tak puas hati makan sambal tumisnya yang tak sedap. Adakala rasa terlalu pedas, ada yang rasa macam cili tak masak lagi.

Terus ‘potong’ selera kita nak sarapan nasi lemak kan? Tapi kalau kita dapat makan nasi lemak yang sambalnya sedap dan padu, memang kita puas hati.

Bila perhatikan tekstur sambalnya sendiri dah nampak sedap. Dengan warna merah kehitaman dan minyak yang berlinang. Bila suap je dengan nasi lemak terus rasa terangkat.

Mak Kongsi Petua Sambal Nasi Lemak Sedap

Bila balik kampung antara menu yang wajib mak aku masak untuk anak-anaknya adalah nasi lemak. Perghh nasi lemak mak aku masak memang terbaik, ditambah pula dengan sambalnya yang padu. Kami makan tak toleh kiri kanan hahaha.

Dulu masa aku sekolah, mak memang pernah meniaga nasi lemak dan mee bandung kat warung tepi Stesen Keretapi Kluang yang terkenal dengan roti bakar dan kopi klasiknya yang berusia 78 tahun. Tiap pagi memang ramai orang datang sarapan di warung mak untuk makan nasi lemak.

petua sambal nasi lemak
Feeling-feeling makan nasi lemak mak masak

Aku antara penolong utama mak dalam penyediaan sambal nasi lemak. Tugas aku kena potong cili kering setiap petang. Aduh…masa tu memang tak suka dengan tugasan tu. Yelah sebab kena tahan pijar tangan dan penat menggunting.

Tapi bila dah tua, aku hargai sangat pengalaman tu sebab daripada situ aku belajar dengan mak cara sediakan sambal tumis yang sedap dan tahan lama.

Kata mak, antara petua utama yang mesti dibuat bila masak sambal tumis iaitu:

  • Kena tumis sambal guna cili kering kisar yang dibuat sendiri.
  • Tumis cili kisar guna minyak masak yang banyak (sampai cili kisar kita tenggelam dalam minyak).
  • Tumis sampai cili kisar pecah minyak. Macam mana nak tau pecah minyak tu? Haa bila kau tengok cili agak-agak dah garing tapi tak hangus ye.
  • Guna hirisan bawang merah yang banyak sebab bawang merah membantu menambah kemanisan rasa sambal.
petua sambal nasi lemak
Hirisan bawang merah menambah rasa manis semula jadi dalam sambal tumis
  • Kena masak sambal guna api yang perlahan dan lama. Haa ni ramai malas nak tunggu tapi inilah rahsianya sambal tumis kita jadi sedap dan padu.
Petua sambal nasi lemak
Gula nisang kirim beli dengan mama reen dari Terengganu
  • Kalau nak lagi sedap, guna gula melaka/ gula nisang (dari Terengganu). Selain sedap, ia juga menjadikan sambal tumis kita warna merah kehitaman.

Cara Masak Sambal Tumis

petua sambal nasi lemak
Bahan-bahan nak masak sambal tumis nasi lemak tapi tertinggal nak letak gambar hirisan bawang besar

Bahan-bahan

  • 1 mangkuk ikan bilis
  • 1 biji bawang besar hiris
  • Gula nisang/gula melaka secukup rasa
  • Garam
  • Air asam jawa

Bahan cili kisar

Petua sambal nasi lemak
Inilah rupa cili kisar sebelum ditumis
  • 20 tangkai cili kering (gunting, rebus, tos)
  • Sebiji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih

Kisar semua sekali bahan tersebut menjadi cili kisar.

Cara-cara:

  • Goreng ikan bilis tapi jangan terlalu garing. Angkat dan ketepikan.
  • Tumis cili kisar dalam minyak yang banyak sampai garing. Guna api perlahan untuk elak ia hangus. Kalau minyak nampak kurang boleh tambah sikit. Kemudian masukkan hirisan bawang merah. Memang proses ini ambil masa yang lama dan akan menentukan sedap atau tak sambal tumis kau buat. Bila nampak minyak tumisan cili dah berbuih sedikit tu tandanya tumisan cili dah garing.
  • Masukkan gula secukup rasa dan gaul sampai rata. Perlu bijak seimbangkan kuantiti gula supaya rasa pedas manis sambal tumis tu ada. Gula juga menjadikan warna sambal lebih menarik.
  • Masukkan air asam jawa, garam dan akhir sekali ikan bilis.
  • Kacau rata sampai sambal masak dan mesra.
  • Sebenarnya sambal tumis ni lebih sedap kalau kita sediakan sehari sebelum dimakan.
Petua sambal nasi lemak
Inilah rupa sambal nasi lemak padu

Selain boleh dimakan dengan nasi lemak, sambal tumis juga laku kalau dilawan makan dengan lempeng dan roti. Kadang memang saja buat banyak so boleh simpan berhari-hari (dalam peti ais la).

Memang bertambahlah anak bujang aku makan sambal dengan roti. Dia cakap sambal nasi lemak mama masak sedap. Katanya lagi tengok dan bau je dah tau sedap…hahahaha bodek mama nampak.

2 comments / Add your comment below

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *