Wang Tidak Patuh Syariah jika bercampur dengan pemilikan harta yang kita peroleh boleh menjadikan ianya tidak berkat dan kehidupan yang kita jalani tidak mendapat keberkatan kerana tidak mematuhi hukum syarak. Mungkin kita tidak sedar ada aktiviti pekerjaan atau perniagaan yang kita ceburi tidak bertepatan mengikut garis panduan hukum Islam. Pernahkan kita terfikir bahawa dalam Islam, pendapatan daripada Wang Tidak Patuh Syariah tersebut boleh dilupuskan atau dengan kata lain disucikan? Ia bertujuan untuk mendidik masyarakat Islam untuk membersikan harta yang diperolehi agar kehidupan yang dilalui penuh dengan keberkatan.
Table of Contents
Wang Tidak Patuh Syariah
Menyedari tanggungjawab pentingnya mendidik dan menyedarkan umat Islam tentang kesedaran pengurusan Wang Tidak Patuh Syariah ke saluran yang betul, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan Seminar Harta Halal Harta Berkat yang banyak memberi pendedahan kepada masyarakat untuk memastikan setiap aktiviti atau perniagaan yang dilakukan sentiasa bertepatan dengan hukum syarak.
Peluang mendengar perkongsian ilmu daripada dua tokoh terkenal iaitu Penasihat Syariah Institusi Kewangan Islam, Dr. Abdul Rahman A. Shukor dan Pengarah Urusan Elzar Shariah Solution Sdn Bhd, Dr. Hj. Zaharuddin Abd. Rahman membuka mata saya untuk lebih cakna tentang isu mencari keberkatan dalam harta yang dimiliki.
Banyak ilmu diperoleh daripada perkongsian dua panel ini sepanjang seminar berlangsung. Dr. Abdul Rahman dalam pembentangan tajuk Keberkatan Harta Dalam Kehidupan berkongsi beberapa dalil dan hadis menceritakan tentang betapa nikmatnya mendapat keberkatan dalam kehidupan. Beliau turut menggariskan panduan cara menjemput keberkatan yang dituntut dalam Islam.
Sementara itu Dr.Hj. Zaharuddin pula mengupas tajuk Instrumen Pengurusan & Perniagaan Patuh Shariah. Selaku tokoh yang berpengalaman luas menjadi penasihat syariah kepada pelbagai institusi kewangan dan perniagaan, beliau berkongsi tip dan panduan mengenali adakah sesuatu institusi itu patuh syariah atau tidak serta instrumen pelaburan dan perniagaan patuh syariah.
Kesedaran Wang Tidak Patuh Syariah
Untuk menggalakkan umat Islam menyucikan harta mereka, MAIS mengambil inisiatif melancarkan Kempen Bulan Kesedaran Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal MAIS bermula 15 November sehingga 13 Disember 2023. Pelancaran disempurnakan oleh Tan Sri Dato’ Seri Abd Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS sekaligus merasmikan Seminar Harta Halal Harta Berkat.
Wang Tidak Patuh Syariah merupakan wang atau harta tidak patuh syariah yang diperoleh daripada sumber yang haram seperti transaksi riba, hasil jualan barang curi, duit rasuah, hasil rompakan, duit loteri dan perlindungan insurans konvensional.
“Bagi tahun 2022, MAIS menerima kutipan sebanyak RM1.8 juta daripada kira-kira 2,000 orang berbanding tahun 2021 sebanyak RM1.5 juta sahaja. Jumlah tersebut masih sedikit. Menerusi kempen kesedaran ini, MAIS mensasarkan kutipan sebanyak RM2.5 juta terimaan daripada orang ramai,” demikian ucapan Tan Sri Dato’ Seri Abd Aziz di majlis pelancaran kempen Kesedaran Wang Tidak Patuh Syariah ini.
Hasil kutipan tersebut akan digunakan untuk maslahah umum seperti bantuan pendidikan, perubatan dan pembinaan infrastruktur.
Cara Melupuskan Wang Tidak Patuh Syariah
Sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam, MAIS berperanan untuk menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam betapa pentingnya mengurus harta dengan sempurna berlandaskan hukum syarak.
Justeru MAIS berharap kempen yang dilancarkan ini memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak.
Bagi masyarakat yang ingin melupuskan Wang Tidak Patuh Syariah bolehlah memilih pelbagai cara yang disediakan ini oleh MAIS.
Pembayaran Di Kaunter
Bayaran boleh dibuat secara tunai atau cek di kaunter Baitulmal ibu pejabat atau pejabat-pejabat agama Islam daerah Selangor.
Pembayaran Secara Online
Kemudahan cara bayaran Wang Tidak Patuh Syariah online boleh dibuat terus di laman web MAIS.
Pembayaran Di Lembaga Zakat Selangor
MAIS juga telah melantik pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang merupakan ejen kutipan Wang Tidak Patuh Syariah semenjak tahun 2020. Jadi orang ramai boleh juga membuat bayaran di semua premis kaunter LZS atau melalui e-Zakat Pay di laman web LZS.
Untuk sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti sepanjang Bulan Kesedaran Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah boleh rujuk di media sosial MAIS seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok Majlis Agama Islam Selangor.
Baca juga Doa Mudah Hafal Jadi Amalan Setiap Hari