Ikan bilis antara menu utama wajib ada dalam setiap dapur orang Malaysia. Selain menjadi salah satu bumbu dalam jenis masakan, ikan bilis juga boleh jadi lauk segera waktu kecemasan. Selain mudah dimasak, ia juga boleh jadi lauk pembuka selera waktu tak sihat seperti demam, selesema dan sebagainya. Kalau korang takde idea nak masak apa, bolehlah cuba koleksi 10 RESEPI IKAN BILIS PEMBUKA SELERA YANG MUDAH DISEDIAKAN. Antaranya Ikan Bilis Goreng Kicap, Kerabu Ikan Bilis Bunga Kantan, Sambal Totok Ikan Bilis, Sambal Ijo Ikan Bilis, Ikan Bilis Kentang, Sambal Tumbuk Ikan Bilis dan banyak lagi.
Table of Contents
Ikan Bilis Masak Apa?
Sinonimnya ikan bilis goreng mesti ada sebagai hidangan penambah (condiment) nasi lemak selain daripada menjadi ‘watak utama’ dalam sambal tumis nasi lemak. Ia juga dijadikan sebagai perencah dalam masakan sayur-sayuran bergoreng.
Khasiat Ikan Bilis
Tahukah anda ikan bilis yang bersaiz kecil ini merupakan salah satu sumber protein haiwan yang mengandungi kalsium yang tinggi (100 gram bilis mengandungi 500 mg kalsium). Berikut antara khasiatnya:
- Penambah rasa semula jadi
- Sumber Omega-3
- Alternatif lain sumber protein
- Mempunyai kandungan Selenium yang tinggi
- Mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular
- Baik untuk kesihatan kulit
- Nutrien penting kesihatan mata
- Kaya Zat Besi
- Anti Keradangan
- Membaiki Kerosakan Tisu
Cara Goreng Ikan Bilis Rangup
Basuh & tos sampai kering
Cuci bilis dan tapis hingga betul-betul kering. Buat sejam sebelum masak. Ikan bilis yang tak kering dengan betul akan mudah liat selepas digoreng.
Kalau tak sempat nak keringkan lepas basuh, korang boleh goreng tanpa minyak sebelum menggorengnya dalam minyak panas.
Guna cuka
Cuka juga boleh menjadikan ia rangup dan garing selepas digoreng. Hanya perlu renjiskan cuka makan pada bilis selepas ia dibasuh dan ditoskan. Kemudian terus goreng macam biasa.
Kalau ada banyak masa, boleh rendam ia dalam cuka lebih kurang 5 minis sebelum digoreng.
Asam keping
Letak 2-3 asam keping semasa menggoreng bilis pun membantunya jadi rangup.
Goreng sampai minyak hilang buih
Lagi satu petua mudah iaitu masa menggoreng pastikan guna minyak yang banyak dan betul-betul panas dengan api yang sederhana. Goreng sampai minyak hilang buih-buihnya, barulah jadi garing dan rangup.
Toskan minyak menggoreng
Angkat dan toskan ikan bilis mengguanakan tisu dapur. Bila dah sejuk barulah simpan dalam bekas kedap udara untuk mengekalkannya garing dan rangup.
Baca: https://nitasawal.com/petua-sambal-nasi-lemak-sedap-tahan-lama/
Tip Pilih Ikan Bilis Berkualiti
Kadangkala kita keliru tengok banyak jenis ikan bilis di pasaraya atau kedai. Mana satu yang okay? Adakah yang berharga mahal lebih berkualiti berbanding yang murah? Okay ini ada tip macam mana cara nak beli bilis yang berkualiti supaya tidak tersalah beli dan dapat yang berbau hapak serta rasa kurang sedap bila digoreng.
Kenal pasti lokasi tangkapan
Antara lokasi tangkapan ikan bilis yang mempunyai kualiti terbaik iaitu di Pulau Pangkor, Pulau Langkawi dan perairan Sabah.
Fizikal ikan bilis
Jika nak tahu ia berkualiti atau tidak, korang boleh tengok belang pada badannya. Ikan bilis berkualiti tinggi mempunyai belang berwarna putih manakala yang berbelang hitam pula kurang berkualiti.
Bau
Pastikan hidu bau ikan bilis sebelum membelinya. Yang masih baru serta berkualiti mempunyai bau yang sedap dan sebaliknya.
Ketahanan
Ikan bilis yang berkualiti lebih tahan lama dalam simpanan dan ia tidak berhapak atau berbau walaupun telah lama membelinya.
Lebih lembut jika dipicit
Lebih lembut jika dipicit
Kalau ia mudah pecah bila dipicit dengan jari ia menandakan ikan bilis itu kualitinya bagus.
Warna
Bilis yang bersih, putih dan berkilat berharga lebih mahal berbanding yang gelap dan kusam.
Baca juga
10 Jenis Ikan Bilis Terbaik
1. Serdang Medium Size
Berikut adalah ciri-ciri ikan bilis jenis ini:
Bahan-bahan | Ikan bilis, minyak, cuka, hirisan asam jawa |
Negara pengeluar | Malaysia |
Saiz | 100gram, 500 gram, 1 kg |
Harga | RM1.80 |
2. Ocean Papa Blue-Eyed Dried
Antara ciri-cirinya:
Bahan-bahan | Gred 5A/3A/A |
Negara pengeluar | Malaysia |
Saiz | 500 gram |
Harga | RM38 |
3. Borneo Premium Bilis Enterprise Fresh
Antara kriteria jenis bilis ini:
Bahan-bahan | Gred AAA |
Negara pengeluar | Malaysia |
Saiz | 500 gram |
Harga | RM45 |
4. DailyFresh e-Mart A Grade Peeled
Kenal pasti ciri-cirinya:
Bahan-bahan | Gred A |
Negara pengeluar | Malaysia |
Saiz | 1 kg |
Harga | RM40 |
5. Tanjung Dawai Less Salty Crunchy Dried Anchovies
Antara jenis bilis yang digemari ramai:
Bahan-bahan | Ikan bilis sudah dikupas |
Negara pengeluar | Malaysia |
Saiz | 100 gram |
Harga | RM6 |
6. Uncle Fish Dried Anchovies
Sebelum beli kenal pasti ciri-cirinya:
Bahan-bahan | Ikan bilis |
Negara pengeluar | Malaysia |
Saiz | 100 gram/300 gram/500 gram/1 kg |
Harga | RM3.90 – RM20.90 |
7. Cap-Lang Fresh Dry Anchovies
Ciri-cirinya:
Bahan-bahan | Gred AAA |
Negara pengeluar | Malaysia |
Saiz | 500 gram |
Harga | RM38 |
8. Red Sea Blue-eyed Anchovies
Sesuai untuk mereka yang tiada masa mengopek bilis.
Bahan-bahan | Ikan bilis yang belum dikopek |
Negara pengeluar | Malaysia |
Saiz | 100 gram/300 gram/500 gram |
Harga | RM3.50 – RM24.99 |
9. Chuan Kah Hock Vegetarian Achovies
Untuk golongan vegetarian;
Bahan-bahan | Cendawan, perasa sayuran, garam, gula, tepung |
Negara pengeluar | Malaysia |
Saiz | 220 gram |
Harga | RM8.79 |
10. Ikan bilis Sabah Permata Jaya Grade A Peeled Anchovies
Antara ciri-ciri bilis dari Sabah
Bahan-bahan | Ikan bilis gred A |
Negara pengeluar | Malaysia |
Saiz | 1 kg |
Harga | RM40 |
Resepi Ikan Bilis Yang Mudah
Ikan Bilis Goreng Kicap
Bahan-bahan
- Segenggam ikan bilis
- Sebiji bawang merah
- 5 tangkai cili api
- Kicap lemak manis
Cara memasak
- Goreng garing ikan bilis. Angkat dan toskan.
- Hiris bawang merah & cili api.
- Dalam kuali yang sama goreng hirisan bawang merah & cili api sampai sedikit garing.
- Masukkan semula ikan bilis yang dah digoreng. Tambah sedikit kicap.
- Kacau rata seketika dan boleh diangkat. Siap untuk dimakan dengan nasi panas atau bubur nasi.
Kerabu Ikan Bilis Bunga Kantan
Bahan-bahan
- 2 genggam ikan bilis
Bahan hiris
- 1 kuntum bunga kantan
- 1 biji tomato
- 1 biji bawang besar
- 5 biji cili padi hijau
- 2 ulas bawang putih
- 1 batang serai
- Daun ketumbar
Bahan sos
- 1 sudu kecil sos ikan
- 1 sudu sos cili
- 2 sudu gula perang
- 10 biji limau kasturi (diperah)
Cara membuat
- Goreng ikan bilis hingga garing.
- Hiris halus semua bahan-bahan hiris.
- Campukan semua bahan-bahan sos.
- Campurkan kesemua bahan hiris dalam mangkuk. Tuang bahan sos, kemudian tabur ikan bilis. Gaul sekata dan sedia dimakan.
Baca juga Sotong Masak Kicap
Sawi Goreng Taburan Bilis
Bahan-bahan:
- Sawi
- Bawang putih
- Cili padi merah
- Ikan bilis
Cara memasak
- Potong sawi, hiris bawang putih dan cili padi.
- Goreng garing ikan bilis. Angkat dan ketepikan.
- Tumis bawang putih & cili padi, kemudian masukkan sawi. Masak seketika dan tutup api.
- Tabur ikan bilis goreng di atas sayur.
Baca juga : https://www.ombakbergigi.com/2023/07/sawi.html
Terung Pipit Berapi Ikan Bilis
Bahan-bahan
- Terung pipit
- Segenggam ikan bilis
- 3 biji cili padi hijau
- Bawang merah
- Serbuk perasa
- 1/2 sudu teh garam
- 1/2 sudu teh gula
Cara memasak
- Goreng ikan bilis sampai garing. Angkat dan ketepikan.
- Kisar bawang merah dan cili padi.
- Tumis bahan kisar sampai garing. Tambah garam, gula dan serbuk perasa.
- Masukkan terung pipit dan masak sampai lembut.
- Masukkan ikan bilis goreng dan gaul rata. Sedia diangkat.
Sambal Totok Ikan Bilis
Bahan-bahan
- Segenggam ikan bilis (dikopek)
- 5 biji cili padi
- 1/2 labu bawang merah (dihiris)
Cara membuat
- Tumbuk kasar cili padi, masukkan hirisan bawang besar dan tumbuk lagi tapi jangan terlalu lumat.
- Masukkan ikan bilis dan tumbuk kasar lagi. Gaulkan kesemuanya.
- Siap untuk dimakan bersama nasi panas.
Sambal Ikan Bilis Ijo
Bahan-bahan
- Ikan bilis
- 10 tangkai cili padi hijau
- 10 tangkai cili hijau
- 1 labu bawang merah
- 1/2 sudu teh gula
- 1/2 sudu teh garam
- Sedikit serbuk perasa
- Asam keping
Cara memasak
- Guna ikan bilis yang sudah dikopek. Cuci bersih, tos dan ketepikan.
- Kisar kasar cili padi dan cili hijau.
- Hiris bawang merah.
- Tumis cili kisar sampai pecah minyak.
- Masukkan hirisan bawang merah dan ikan bilis.
- Masukkan gula, garam, serbuk perasa dan sekeping asam keping.
- Kacau sebati semua bahan dan sedia untuk dihidang.
Ikan Bilis Kentang
Bahan-bahan
- Segenggam ikan bilis
- 3 biji kentang
- 10 tangkai cili kering
- 1 labu bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- Air asam jawa
- 1/2 sudu teh garam
- 2 sudu besar gula
- Serbuk perasa
Cara memasak
- Cuci, tos dan goreng garing ikan bilis. Angkat dan ketepikan.
- Kupas kentang dan potong bentuk baji. Goreng dan ketepikan.
- Kisar cili kering, bawang merah dan bawang putih.
- Tumis bahan kisar cili kering sampai pecah minyak.
- Masukkan gula, garam, serbuk perasa dan air asam jawa.
- Bila agak-agak kering sikit sambal, boleh masukkan kentang goreng dan ikan bilis.
Sambal Tumbuk Ikan Bilis
Bahan-bahan
- Segenggam ikan bilis
- 10 tangkai cili padi
- 2 biji limau kasturi
Cara membuat
- Goreng ikan bilis sampai garing.
- Tumbuk cili padi sederhana kasar. Masukkan ikan bilis dan tumbuk lagi sampai lumat.
- Perahkan limau kasturi dan siap.
Sambal Tomato Ikan Bilis
Bahan-bahan
- 2 biji tomato merah
- 5 tangkai cili merah
- 10 tangkai cili padi
- Segenggam ikan bilis
- 1 labu bawang besar (dihiris)
- 1/2 sudu teh garam
- 1 sudu besar gula
- Serbuk perasa
Cara memasak
- Potong tomato.
- Kisar cili merah, cili padi dan bawang besar.
- Goreng ikan bilis sekejap (jangan terlalu garing).
- Tumis bahan kisar sampai pecah minyak.
- Masukkan tomato dan tambah gula, garam dan serbuk perasa. Masak sampai tomato sebati dengan sambal.
- Masukkan ikan bilis dan kacau sebati. Sedia dihidang.
Crunchy Ikan Bilis
Bahan-bahan
- 300 gram ikan bilis
- 6 tangkai cili kering
- 6 tangkai cili padi
- Sebuk salted egg
Cara memasak
- Goreng ikan bilis garing, tos dan ketepikan.
- Potong cili kering, goreng sekejap jangan sampai hangus. Guna pengisar kering untuk kisar cili. Kalau malas boleh beli sahaja cili flakes.
- Panaskan minyak, goreng cili kering dan cili padi kisar, masukkan sekali serbuk salted egg. Gaul sekali.
- Masukkan bilis goreng tadi dan gaul rata.
- Siap untuk dihidang.