Rancang Nak Hamil? Bila dah mula merancang untuk mempunyai anak, perkara pertama yang terlintas di fikiran sudah tentu TTC atau trying to conceive.
Tapi tahu tak yang sebenarnya, persediaan untuk kehamilan boleh dimulakan lebih awal? Dengan kata lain wanita perlu merancang persiapan kesihatan, fizikal dan mental sebelum bersedia mengandung.
Perkara ini antara topik yang diketengahkan dalam What Women Want Forum: Before We Bloom – A Couple’s Guide to Pre-Pregnancy, anjuran Parenthood Media bersama Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL).
Table of Contents
Forum ini membuka ruang untuk berbincang secara lebih terbuka mengenai TTC, kesuburan, kesihatan hormon dan perkara yang boleh diberi perhatian sebelum seseorang atau pasangan mula merancang untuk menimang cahaya mata.
Rancang Nak Hamil? Persediaan Bermula Sebelum TTC
Mungkin ramai beranggapan penjagaan kesihatan sebelum hamil hanya perlu diberi perhatian apabila sudah bersedia untuk TTC selepas mendirikan rumah tangga.
Tetapi dalam forum, doktor yang dijemput sebagai panel, menekankan iaitu penjagaan kesihatan sebelum mengandung boleh dimulakan lebih awal, bukan hanya ketika seseorang sedang aktif TTC.

Menurut Dr Raymond Lim, pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G), dan Dr Lim Sue Wen, pakar Endokrinologi dari Pantai Hospital Kuala Lumpur, menjaga kesihatan reproduktif dan kesihatan secara keseluruhan lebih awal boleh membantu mengenal pasti sebarang risiko yang mungkin ada serta membuat persediaan yang lebih baik untuk kehamilan.
Jadi, kalau sudah ada perancangan untuk menimang cahaya mata, mungkin ini masa yang sesuai untuk mula memahami kesihatan diri sendiri dengan lebih baik.
Beri Perhatian Pada Beberapa Faktor
Kesuburan bukan bergantung kepada satu faktor sahaja. Dalam forum tersebut, pakar turut membincangkan bagaimana kesuburan berubah mengikut usia. Beberapa keadaan kesihatan seperti polyendocrine metabolic ovarian syndrome (PMOS), endometriosis, masalah tiroid dan diabetes juga boleh menjadikan proses untuk mengandung menjadi lebih mencabar.
Sebab itu, mengenali keadaan kesihatan sendiri dan memahami sebarang tanda yang mungkin memerlukan perhatian boleh membantu seseorang mendapatkan nasihat perubatan pada masa yang sesuai.
TTC Bukan Tanggungjawab Wanita Sahaja
Bila kehamilan belum berlaku seperti yang diharapkan, wanita selalunya menjadi pihak pertama yang rasa tertekan. Tetapi sebenarnya, kesuburan ialah perjalanan yang melibatkan kedua-dua pasangan.
Jika kehamilan mengambil masa lebih lama daripada yang dijangka, kedua-dua pasangan mungkin perlu dinilai kerana faktor lelaki juga boleh menyumbang kepada kesukaran untuk hamil.
Jadi, TTC sebaiknya dilihat sebagai satu perjalanan bersama – bukan sesuatu yang perlu dipikul oleh wanita seorang diri.
Oleh itu suami dan isteri perlu bekerjasama dan tidak perlu menunding jari menyalahkan satu sama lain. Yang penting kena usaha dan segera dapatkan nasihat doktor pakar.
Jangan Lupa Gaya Hidup!
Gaya hidup generasi muda masa kini turut menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan yang boleh mengganggu kesihatan reproduktif mereka untuk mendapatkan anak.
Antaranya termasuk:
- Berat badan
- Pemakanan
- Aktiviti fizikal
- Stres
- Kesihatan hormon
- Keadaan kesihatan sedia ada
Semua perkara ini merupakan antara topik yang dibincangkan oleh panel ketika forum berlangsung.
Menurut Dr Lim, jika seseorang menghidap penyakit seperti tiroid, diabetes dan sebagainya, ia sudah tentu memberi kesan kepada kualiti telur. Jadi, pesan beliau, tiga bulan pertama sebelum mengandung pasangan perlu menjaga kesihatan diri terutama sekiranya ada sejarah penyakit termasuk diabetes.

Ini menunjukkan bahawa persediaan sebelum hamil bukan sekadar tentang TTC semata-mata, tetapi juga tentang memahami keadaan kesihatan diri secara menyeluruh.
Jumpa Pakar Kesuburan Tak Bermaksud Terus IVF
Panel turut menyentuh taboo dalam masyarakat yang menjadi salah faham yang sering membuatkan pasangan teragak-agak untuk mendapatkan nasihat iaitu beranggapan bahawa jika mereka berjumpa pakar kesuburan ia bermaksud perlu terus menjalani IVF atau In Vitro Fertility.
Sebenarnya, menurut panel forum, konsultasi kesuburan bermula dengan memahami apa punca sesuatu kebimbangan dan mengenal pasti pilihan rawatan yang sesuai untuk individu atau pasangan tersebut.
Semuanya bergantung kepada keadaan, cadangan rawatan yang disarankan boleh merangkumi perubahan gaya hidup, ubat-ubatan, pengurusan keadaan kesihatan tertentu atau, jika sesuai, rawatan reproduktif seperti IVF.
Jadi, mendapatkan konsultasi lebih awal tidak semestinya bermaksud seseorang pasangan perlu terus menjalani rawatan IVF sebaliknya memahami punca masalah dan solusi rawatan bersesuaian.
Lebih Banyak Maklumat, Lebih Bersedia Untuk TTC
Setiap pasangan mempunyai keadaan kesihatan dan tahap kesuburan yang berbeza.
Oleh itu, penting memahami kesihatan diri sendiri dan pasangan lebih awal bagi membantu menjadikan perbincangan tentang kesuburan lebih terbuka, praktikal dan kurang menakutkan.
Jika anda sedang merancang kehamilan atau mempunyai kebimbangan berkaitan kesuburan, berbincang dengan doktor pakar sekurang-kurangnya membantu anda memahami keadaan serta pilihan rawatan yang sesuai berdasarkan situasi sendiri.
Bila Masa Sesuai Untuk Mula Bersedia?
Daripada hanya menunggu sehingga kehamilan berlaku, pasangan boleh mula memberi perhatian kepada kesihatan reproduktif, kesihatan hormon dan gaya hidup terlebih dahulu.
Kerana apabila tiba masanya untuk TTC, sekurang-kurangnya anda sudah mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang tubuh, kesihatan dan perkara yang perlu diberi perhatian.
Dr Raymond menasihatkan pasangan muda yang baru berkahwin agar merancang untuk mendapatkan anak secepat mungkin.
“Sebaiknya cuba untuk mengandung dalam tempoh enam bulan lepas berkahwin, jangan tunggu terlalu lama. Suami isteri perlu sekurang-kurangnya mengadakan hubungan intim dua kali seminggu jika benar-benar nak anak.
Jika dalam masa enam bulan tak berjaya terus pergi berjumpa doktor pakar untuk pemeriksaan dan nasihat,” demikian kata Dr Raymond.
Nak tahu lebih lanjut tentang perkhidmatan pakar dan konsultasi berkaitan kesihatan sebelum hamil? Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada Pantai Hospital Kuala Lumpur dan berbincang dengan profesional kesihatan yang bersesuaian.

Mengenai Pantai Hospital Kuala Lumpur
Selama lima dekad, Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) kekal sebagai antara institusi penjagaan kesihatan di Kuala Lumpur yang komited dalam menyediakan penjagaan berkualiti serta akses kepada teknologi perubatan terkini kepada pesakit daripada pelbagai latar belakang.
Perjalanan PHKL bermula sejak tahun 1974 dengan hanya memiliki sebanyak 68 katil dan 20 pakar perubatan.
Kini, Pantai Hospital Kuala Lumpur dilesenkan dengan kapasiti 507 katil dan mempunyai lebih 200 doktor pakar dalam pelbagai bidang perubatan dan pembedahan.
PHKL turut komited menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti, di samping menyokong penyelidikan klinikal dan percubaan klinikal.
Hospital ini memiliki akreditasi daripada Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) dan Joint Commission International (JCI).
Selain itu, Pantai Hospital Kuala Lumpur turut diiktiraf sebagai Baby Friendly Hospital atau Hospital Rakan Bayi yang menyokong penyusuan susu ibu dan merupakan hospital pilihan di Malaysia oleh World Health Organization (WHO).